Tuesday, November 2, 2010

cari mkn ngan bos


Polis tumpaskan Geng 'Pick Up'


ABDUL Jalil Hassan (tengah) menunjukkan peralatan yang digunakan oleh geng Pick Up untuk melakukan aktiviti pecah rumah dan sebahagian barangan curi yang berjaya ditemui semula di IPD Ampang Jaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 25 Okt. - Geng 'Pick Up' yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan curi di sekitar daerah Ampang Jaya di sini tumpas selepas lima ahli kumpulan itu termasuk ketuanya ditahan polis Jumaat lalu.

Penahanan kesemua ahli kumpulan itu dibuat ekoran kejayaan polis memberkas ketuanya digelar Pick Up ketika suspek memecah masuk sebuah pejabat di Ampang Hilir awal pagi Jumaat lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, tindakan suspek memecah pejabat itu disedari pemiliknya yang menerima amaran daripada sistem keselamatan dipasang di pejabatnya.

"Mangsa yang ke pejabatnya telah melihat kelibat seorang lelaki berkeliaran sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

"Selepas mengepung pejabat itu kita menahan seorang lelaki berusia 40-an yang sedang bersembunyi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini hari ini.

Beliau menambah, ekoran penahanan itu, suspek telah membawa polis ke sebuah rumah teres di Taman Pandan Ria di sini yang menjadi tempat persembunyian sejumlah barangan curi dan ahli lain.

Menurutnya, di rumah itu, polis telah menahan dua lelaki dan dua perempuan termasuk seorang warga Thailand.

"Kita juga telah menemui sejumlah wang tunai, barang kemas, telefon bimbit, komputer riba, jam tangan dan pelbagai barangan elektrik.

"Hasil siasatan mendapati, geng itu menggunakan dua wanita sebagai umpan yang berlakon sebagai tetamu ke sesebuah rumah sebelum memecah masuk jika tiada penghuni," katanya.

Abdul Jalil memberitahu, ketiga-tiga suspek lelaki itu mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

Beliau meminta penduduk yang pernah menjadi mangsa pecah rumah agar tampil membuat pengecaman terhadap barangan mereka.