Sunday, June 6, 2010

integriti amalan kita



metro 04 Jun 2010 m/s 2
AMPANG: “Kami menolak rasuah RM20,000 itu kerana integriti dan nama baik pasukan polis,” kata Inspektor Suhaimi Omar, 29, dan Lans Koperal Fauzi Mustafa, 27, yang masing-masing menerima penghargaan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana jujur dan amanah ketika bertugas. Kedua-duanya menerima sijil dan RM1,000 seorang kerana penolakan sogokan daripada seorang lelaki untuk membebaskan empat rakannya yang ditahan pada Khamis lalu.

Suhaimi berkata, dia sebelum itu kerap dihubungi lelaki terbabit untuk diberi sogokan, tetapi tidak pernah mengendahkannya, malah menyuruh individu itu melupakan niat jahat itu.

“Bukan saja dia selalu menghubungi saya, malah datang ke balai polis untuk memujuk kami. Cukup biadab perbuatannya itu,” katanya.

Fauzi berkata, dia berharap penghargaan itu dapat dijadikan contoh kepada anggota polis lain untuk menolak rasuah.

Sementara itu, Setiausaha PPIM, Datuk Dr Ma’amor Osman, berkata anugerah dan penghargaan berkenaan sebagai motivasi kepada polis lain untuk menolak rasuah.
“Bagi saya, sekiranya anggota polis itu tidak menerima sogokan, saya menganggapnya sebagai ‘hero’ dalam masyarakat. Oleh itu, saya minta orang ramai untuk terus menyokong kerja polis yang berterusan menyelamatkan nyawa masyarakat,” katanya.

Suhaimi dan Fauzi menerima penghargaan itu berikutan menolak cubaan sogokan RM20,000 daripada seorang lelaki bagi membebaskan empat individu yang ditahan dalam kejadian di Balai Polis Ampang, Khamis lalu.
Lelaki terbabit yang berusia 40-an dan
berasal dari Johor Bahru itu datang ke balai berkenaan bertujuan membebaskan empat rakannya yang ditahan kerana aktif memberi pinjaman wang tanpa lesen di Ampang Jaya, 24 Mei lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata lelaki yang berasal dari Johor itu ditahan sebaik dia mengeluarkan wang. “Saya percaya lelaki itu menjadi orang tengah sindiket along bagi menyogok pegawai polis untuk membebaskan rakan mereka,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit kini direman seminggu dan disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.